29 Disember 2012
Imran Ajmain sedar kemampuan vokal

WARTAWAN SINAR HARIAN

sinar

Kehadiran penyanyi dari Singapura ini ternyata diterima baik di sini.

Berbekalkan suara jantannya, Imran Ajmain, 31, berjaya memikat hati pendengar dengan lagu popular, Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang.

Seakan-akan sinonim dengan rentak balada, Imran terus menghasilkan lagu sebegitu untuk album ketiganya, yang akan dipasarkan Mac tahun depan. Malah, single terbarunya, Dikalung Kasihan juga mempunyai nuansa yang sama.

Menurut Imran, dia selesa menyanyikan lagu balada kerana dilihat lebih bersesuaian dengan vokalnya yang berada pada tahap sederhana.

“Saya tidak memiliki vokal tinggi seperti penyanyi lain.

“Oleh itu, saya lebih gemar menyanyikan lagu balada yang bernada rendah seperti single sebelum ini,” katanya.Dalam memilih lagu yang sesuai, pemilik nama penuh Imran Ahmad Husaini Ajmain ini mendedahkan, dia juga mengamalkan tiga formula bagi memastikan lagu nyanyiannya menjadi siulan ramai.

“Rahsianya ialah melodi mestilah mudah diingati, tempoh seminit sebelum korus yang menarik perhatian dan kekerapan menyanyikannya sehingga melekat di ingatan.

“Saya bersyukur kerana dengan formula ini, lagu saya mendapat perhatian pendengar,” katanya.

Arah klip video

Dalam pada itu, Imran turut berkongsi kegembiraannya dengan sambutan luar biasa terhadap lagu Dikalung Kasihan yang kini semakin kerap diputarkan di corong radio.

“Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan Azlan Abu Hassan yang mencipta lagu ini.

“Peminat memberikan maklum balas yang positif dan saya menganggapnya sebagai petanda baik untuk kembali aktif menyanyi,” katanya yang menyepi seketika daripada dunia nyanyian selama beberapa tahun.

Malah, Imran juga telah melancarkan klip video lagu tersebut yang tercetus hasil ideanya sendiri.

“Klip video ini istimewa kerana saya sendiri yang mengarahkannya bersama dengan Nasrullah Napi.

“Kami menjalani penggambaran selama tiga minggu di sekitar Kedah dan Pahang. Boleh dikatakan, saya berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Menurut Imran, klip video mempunyai kelainan kerana mendapat inspirasi daripada novel dan filem popular, Atonement.

“Kali ini, saya lari daripada kebiasaan apabila tidak memaparkan percintaan yang indah.

“Sebaliknya, saya mengetengahkan konsep belas kasihan seperti yang diceritakan dalam liriknya,” katanya yang akan muncul dengan single kedua, Intan dan Perak, tidak lama lagi.

Be the first to comment on “Sinar Harian: Imran Ajmain sedar kemampuan vokal”

Leave a Reply