Di Kalung Kasihan sentuh emosi
Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

394782_10151014595682706_1235021736_n

LUNAK suara yang dimiliki Imran Ajmain ketika menyanyi lagu balada pasti membuatkan ramai wanita cair mendengarnya.

Tidak hairanlah jika ada peminat wanita secara terbuka mengakui tersentuh emosi dan mengalir air mata tatkala mendengar single terbaru beliau bertajuk Di Kalung Kasihan.

Single terbabit adalah antara lagu baru bakal dimuatkan untuk album ketiga penyanyi Singapura berusia 31 tahun itu yang akan berada dalam pasaran sekitar Mac ini. Setakat ini, Imran sudah siap merakamkan empat daripada lapan lagu baru yang akan dimuatkan dalam album itu.

“Tajuk album saya itu belum ada dan masih mencari yang sesuai. Apapun, single bertajuk Di Kalung Kasihan memang berbeza daripada lagu dua album pertama yang berkonsep R&B dan lagu lama.

“Lagu Di Kalung Kasihan adalah berkonsep balada dengan kekuatan lenggok Melayu. Dengan mendapat sentuhan komposer idola saya, Azlan Abu Hassan dengan lirik oleh B Azhar, saya yakin lagu ini mampu menjadi lagu balada yang disukai.

“Biasanya saya menulis lagu sendiri, tetapi kali ini saya menyanyikan lagu ciptaan orang lain. Buat peminat, saya menjanjikan lagu itu diberi suntikan melodi mudah diingat dengan korus tidak sampai satu minit dan paling penting, senang untuk meresap atau diingati jika kerap dinyanyikan.

“Malah, lagu itu juga sesuai dengan tahap vokal saya yang ‘middle register’ kerana saya tidak mampu tarik suara tinggi-tinggi,” katanya pada majlis pelancaran single dan MTV karaoke Di Kalung Kasihan di Red Box, The Gardens, Mid Valley City, Rabu lalu.

Imran kini bernaung di bawah pengurusan Fazley Internasional Productions Sdn Bhd (Fipro) dengan kerjasama Life Records sebagai pengedar.

Video rasmi lagu Di Kalung Kasihan dirakam di Gunung Keriang, Kedah, Tanah Tinggi Genting dan Singapura bersama pengarah muda, Nasrullah Napi dan turut menandakan kerjasama sulung antara Imran dan Azlan.

Sekalipun tajuk asal lagu itu ditolak Azlan kerana bunyinya pelik, namun Imran yakin karya itu sesuai dengan tema untuk lagu terbabit.

“Saya menggunakan rumusan yang sama terhadap beberapa lagu yang diminati ramai sebelum ini seperti Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang dan akhirnya dapat diterima.

“Dengan lagu ini dan album bakal menyusul tidak lama lagi juga, saya juga bercadang menjayakan persembahan kerana tidak mahu lagu sekadar berkumandang di radio,” katanya.

Imran juga memiliki minat mendalam terhadap bacaan.

“Buku menjadi satu inspirasi terutamanya biografi, sejarah dan motivasi untuk meneroka erti kehidupan manusia. Ada buku bacaan menjadi pendorong dan memberi semangat seperti mana saya mendapat semangat untuk membuat muzik video ini yang berbeza kerana ia berkisar mengenai rasa kasihan.

“Kita perlu mencari dan terus mencari kerana perasaan ada dalam diri manusia unik dan berkait dengan manusia lain. Inspirasi berkarya sejak beberapa tahun lalu banyak datang daripada bapa yang pernah bekerjasama dengan ramai penyanyi termasuk Othman Hamzah dan Azean Irdawaty yang hebat dengan cara mereka tersendiri,” katanya.

Kelahiran single Di Kalung Kasihan hadir selepas tiga tahun menyepi diri. Kali terakhir Imran berada di corong radio menerusi lagu Radio bersama Diana Danielle dan Nabil pada 2009.

Sumber: Harian Metro
Gambar: @Duratulain

Be the first to comment on “Harian Metro: Dikalung Kasihan Sentuh Emosi”

Leave a Reply