28 DEC 2012
Imran Ajmain Tak Risau Album Tak Dapat Sambutan
RIDHATUL RIZKI SAYUTI

imranGUA

Imran Ajmain tidak risau sekiranya album ketiga yang bakal dipasarkan pada tahun hadapan tidak mendapat sambutan kerana dia percaya setiap penyanyi harus menggunakan pendekatan yang dilakukan oleh artis indie.

“Artis Malaysia terlalu risau sekiranya album tidak mendapat sambutan. Saya percaya sebagai penyanyi kita harus mengadakan konsert jelajah atau kita akan ‘mati di radio’,” katanya.

Imran akan memulakan tahun 2013 dengan konsert jelajah di kolej dan universiti seluruh Malaysia bermula dari Johor Bharu hingga ke Langkawi pada setiap hujung minggu.

“Konsert jelajah yang bakal bermula dari bulan Januari hingga April ini bertujuan untuk mempromosikan album ketiga saya yang turut memuatkan single terbaru “Dikalung Kasihan”, kata Imran.

Dalam pada itu, Imran yang bernaung di bawah pengurusan Fazley Internasional Productions Sdn Bhd (FIPRO) dengan kerjasama Life Records telah melancarkan single dan MTV Karaoke Dikalung Kasihan yang telah diadakan di pusat karaoke Redbox semalam.

Menurut Imran, lagu ciptaan Azlan Abu Hassan yang ditulis oleh B. Azhar ini berkisar tentang perasaan cinta yang berlandaskan rasa kasihan terhadap seseorang.

“Saya ingin lari dari tema yang biasa dalam lagu-lagu Melayu seperti mencintai, meninggalkan dan ditinggalkan. Saya mendapat inspirasi untuk menulis tentang lagu ini setelah saya membaca novel ‘Atonement’ tulisan Ian McEwan. Setelah itu saya menceritakan inspirasi ini kepada penulis lirik dan inilah hasilnya”, kata Imran.

Setelah kejayaan lagu “Seribu Tahun” sebagai MTV Karaoke paling kerap dimainkan oleh pengunjung Redbox, Imran berharap lagu Dikalung Kasihan juga mampu menjadi pilihan peminat.

“Lagu ini mempunyai maksud yang mendalam. Saya berharap ramai yang akan menyanyikan lagu ini di pusat karaoke seperti Redbox,” kata Imran.

Sumber: Gua.com.my

Be the first to comment on “Gua: Imran Ajmain Tak Risau Album Tak Dapat Sambutan”

Leave a Reply