Sabtu Disember 08, 2012
Pelengkap Hidup Imran Ajmain
Oleh Khairul / Djohan (gambar)

SELEBRITI

Penyanyi kelahiran Singapura yang yang popular di Malaysia iaitu Imran Ajmain memilih membaca sebagai salah satu aktiviti santai yang sering dilakukan sekiranya mempunyai masa terluang.

Menurut penyanyi berusia 31 tahun ini, minat membaca yang ada padanya bermula sejak kecil kerana keluarganya memang mementingkan ilmu pengetahuan sebagai pelengkap hidup.

“Sejak kecil saya memang merupakan seorang yang suka membaca. Kebanyakan bahan bacaan saya terarah kepada hasil-hasil seni dan bukannya berbentuk akademik.

“Ini kerana minat membaca saya digabungkan dengan minat yang mendalam terhadap dunia seni. Sebab itu, kebanyakan bahan bacaan saya juga merupakan bacaan dari bidang tersebut,” katanya yang kembali popular dengan single terbaru berjudul di Dikalung Kasihan.

Menurut penyanyi yang baru-baru ini mengatakan mahu berhijrah ke Malaysia secara tetap, hidupnya selama ini memang dibesarkan dengan pelbagai bahan bacaan terutama buku berkaitan syair dan pantun-pantun Melayu.

“Seingat saya, sewaktu zaman persekolahan dahulu, saya sedikit berbeza berbanding pelajar lain. Kebanyakan mereka meminati lagu-lagu yang berasal dari barat seperti hip hop dan rock.

“Saya sebaliknya kerana minat saya pada waktu itu adalah pada muzik tradisional Melayu. Ini memainkan peranan besar kepada saya apabila mula bergelar penyanyi,” tambah penyanyi yang sebelum ini popular dengan lagu Seribu Tahun.

Selain sibuk dengan undangan nyanyian di seluruh negara, Imran yang juga merupakan pakar motivasi berkenaan penggunaan media sosial berkata, kini dia lebih berminat untuk membaca bahan bacaan berunsur sejarah, biografi dan juga motivasi.

Antara buku yang sering dibacanya kini kebanyakan berbentuk biografi kisah kejayaan seseorang. Ini kerana baginya, dalam usaha untuk mencapai kejayaan, tidak salah mengambil sikap belajar daripada pengalaman orang lain.

“Membaca merupakan suatu aktiviti yang sangat baik. Dan ia bertambah baik apabila bahan yang dibaca itu memberi motivasi kepada kita untuk mempertingkat keupayaan diri,” katanya yang menghabiskan kira-kira tiga atau empat buah buku setiap bulan.

Tambahnya, selain itu dia memilih untuk membaca kerana itu antara aktiviti yang sesuai dengan jadual kerjanya yang padat dengan hampir setiap minggu memenuhi undangan sama ada nyanyian mahupun ceramah motivasi.

“Selain daripada membaca pada waktu lapang, saya sering menjadikan membaca satu aktiviti sewaktu melakukan pekerjaan harian. Masa yang terluang itu biasanya tidak dapat diisi dengan melakukan perkara lain.

“Sebagai contoh, sewaktu dalam perjalanan panjang ke satu-satu lokasi, saya tidak akan lupa untuk membawa buku bukan sahaja untuk mengisi masa lapang tetapi juga mampu menambah lagi pengetahuan diri,” jelasnya turut membawa berhasrat untuk membawa ibu dan bapanya menetap di Kuala Lumpur.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121208/ke_02/Pelengkap-hidup#ixzz2GJgCwL6d
© Utusan Melayu (M) Bhd

Be the first to comment on “Utusan: Pelengkap hidup”

Leave a Reply