Jumaat Disember 28, 2012
Imran Ajmain Kekal Genre Balada Kerana Vokal
Teks oleh Kheme Rosly - khemerosly@yahoo.com
Foto oleh Faizal Mustafa Photography

murai

KUALA LUMPUR, 28 DIS 2012: Walaupun trend muzik tempatan mahupun antarabangsa kini dilihat menjurus ke arah muzik rancak serta indie yang terus mendapat perhatian umum namun Imran Ajmain, 31, tetap mahu terus memperjuangkan genre muzik balada yang menjadi pilihannya semenjak menceburi dunia nyanyian.

Penyanyi serta komposer kelahiran Singapura ini tidak pernah merasakan perkara tersebut menjadi kekangan buatnya untuk tampil dengan genre muzik yang sama bagi album ketiga-nya yang bakal beradadi pasaran sekitar Mac 2013.

Bernaung di bawah syarikat rakaman Life Records, Imran kini diuruskan oleh Syarikat FIPRO yang juga milik Dato’ Dr Fazley. Kelmarin telah berlangsungnya majlis pelancaran single terbaru Imran yang berjudul Dikalung Kasihan beserta MTV Karaoke di Red Box The Gardens Mall, Midvalley.

“Genre muzik balada sesuai dengan vokal saya yang tidak terlalu tinggi tetapi mempunyai tone suara rendah yang jelas. Antara sebab lain adalah kerana cara nyanyian saya dipengaruhi lenggok lagu-lagu Melayu asli.

“Lagi pula semenjak kecil saya sering mendengar lagu-lagu asli tetapi bila meningkat dewasa saya lebih meminati lagu bergenre R&B. Jadi gabungan minat dan kebolehan suara membuatkan saya memilih balada sebagai genre untuk saya berkarya,”jelasnya yang selesa untuk terus mempertaruhkan lagu-lagu bergenre sebegini.

Melihat kepada percaturan penyanyi di zaman kini, mereka lebih yakin untuk menghasilkan single daripada album penuh kerana bimbang kurang mendapat sambutan daripada peminat. Namun, Imran mempunyai sebabnya tersendiri mengapa dia berani untuk tampil dengan album penuh.

“Untuk menghasilkan sesebuah album, ia perlu mempunyai idea dan konsep serta mesej yang ingin disampaikan melalui album tersebut. Daripada konsep dan mesej barulah lagu akan dipilih untuk dimuatkan di dalam album.

“Bagi saya sebuah album itu harus mempunyai kesinambungan dalam setiap lagu yang terkandung didalamnya. Apa yang ingin saya jelaskan , jika saya hasilkan single dan bila sampai ketika, semua single dikumpul dan dijadikan album, ia seperti tiada sebarang mesej yang mampu disampaikan dalam album.

“Sekadar lagu-lagu popular digabung membentuk sebuah album kompilasi, namun tiada kesinambungan malah sebarang konsep. Biar bekerja dengan komposer berlainan tidak menjadi masalah kerana kesinambungan boleh diwujudkan ketika susunan dibuat,”ujar Imran yang mempunyai cara tersendiri dalam berkarya.

Antara aktiviti lain yang bakal dijalankan oleh penyanyi yang popular dengan lagu Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang ini adalah dengan mengadakan siri jelajah ke kolej dan pusat-pusat pengajian sebagai cara dia cuba mempromosikan lagu-lagu bergenre balada daripada album terbarunya itu bermula Januari ini.

Sumber: Murai.com.my

Be the first to comment on “Murai: Imran Ajmain Kekal Genre Balada Kerana Vokal”

Leave a Reply