imran

 

KUALA LUMPUR – Pelantun lagu ‘Seribu Tahun’ dan ‘Selamat Ulang Tahun Sayang’, Imran Ajmain mengakui lebih selesa bergerak sebagai penyanyi yang melakukan persembahan secara kecil-kecilan kepada para peminatnya.

Bagi Imran, dengan melakukan persembahan kecil, dia dapat mendekati peminat-peminatnya dengan lebih dekat.

Malah, peminat-peminat kepada jejaka yang berusia 31 tahun itu juga dapat mengenali dirinya dengan lebih mendalam.

“Saya percaya, saya seorang artis yang sederhana dan saya ingin sangat kekalkan dengan show kecil-kecil. Supaya saya dapat mendekati orang ramai, mendekati penggemar-penggemar lagu saya.

“Jadi, bila mereka datang show saya, mereka dapat bertemu dengan saya dengan hanya jarak sekangkang kera dengan stage,” kata Imran ketika sidang media diadakan selepas selesai membuat persembahannya di Hard Rock Cafe di sini, semalam.

Walaupun ingin mengekalkan persembahan yang kecil, Imran tetap mempunyai cita-cita untuk memperkenalkan namanya di peringkat yang lebih tinggi dengan melakukan persembahan yang lebih besar.

Cuma, cita-cita dan keinginannya itu belum lagi ingin dilaksanakan selain mahu lebih fokus mengumpulkan bahan-bahan berkualiti dalam setiap lagunya.

“Untuk show lebih besar, saya belum tahu lagi. InshaAllah cita-cita untuk setiap artis yang ingin menjadi penyanyi yang besar dan mempunyai nama yang disanjungi, itu adalah cita-cita semula jadi setiap penyanyi. Tapi sekarang, kita buat kecil-kecil dulu,” katanya.

Bercerita mengenai perjalanan seninya, jejaka kelahiran negara Singapura itu mengakui dia senyap seketika dari dunia seni kerana gigih mengumpul bahan-bahan untuk lagunya yang baru.

Usahanya itu berbaloi kerana Imran bakal mengeluarkan ‘singlenya’ yang baru iaitu ‘Dikalung Kasihan’ hasil sentuhan dari komposer terkenal, Azlan Abu Hassan.

“Saya mungkin menyepi sejak tahun 2009 dengan lagu terakhir ‘Radio’. Jadi semenjak itu saya mencari material, cari ilham. Saya masih buat persembahan dan belum ada karya baru.

“Jadi bila bertemu dengan Azlan Abu Hassan, saya jatuh cinta dengan lagu ‘Dikalung Kasihan’. Inilah masanya untuk saya lancarkan lagu itu sebelum puasa,” kata Imran.

Semalam, Imran telah melakukan persembahan secara ‘live’ di Hard Rock Cafe di hadapan peminat-peminatnya.

Sebanyak 17 lagu telah didendangkan olehnya termasuklah 10 lagu miliknya sendiri.

Source: http://mynewshub.my/2012/07/16/imran-ajmain-kekalkan-show-kecil-dekati-peminat/

Be the first to comment on “MyNewsHub: Imran Ajmain Kekalkan Show Kecil, Dekati Peminat”

Leave a Reply