Showcase ImranAjmain

 

PERTAMA kali membuat persembahan di khalayak yang lebih besar, Imran Ajmain tidak menganggap dia tidak mempunyai peminat sebaliknya, mahu lebih dekat dengan pihak yang telah menyokongnya selama ini.

Showcase pertamanya dalam skala yang besar di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Ahad lalu walaupun hanya dihadiri 200 peminatnya, Imran tetap bersyukur dan tahu ia berikutan faktor lokasi persembahannya kali ini.

Sebelum ini, Imran hanya membuat persembahan sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor di kafe dan restoran sahaja.

“Saya memang suka secara sederhana sahaja, saya tahu ramai yang tidak hadir sebab berada di negeri lain, jauh nak datang Kuala Lumpur, lebih baik begini sederhana, supaya lebih dekat dengan peminat dan kita tahu siapa yang sentiasa sokong kita,” tutur penyanyi yang berasal dari Singapura ini.

Nama Imran Ajmain, 31, yang meletup kira-kira lima tahun lalu dengan lagu Seribu Tahun, menafikan dia menyepi selama ini disebabkan tidak popular sebaliknya masih menyanyi seperti biasa dan memenuhi undangan nyanyian.

Ujar peminat tegar Twitter ini, dia tidak terlalu menonjol sejak akhir-akhir ini disebabkan sibuk menyiapkan album ketiganya kerana mahu yang terbaik untuk album berkenaan.

Showcase Imran selama dua jam itu mempersembahkan 17 buah lagu termasuk karya nyanyian artis popular lain seperti Yuna, Alif Satar, Sheila Majid, Chaka Khan, Ning Baizura, Geisha dan Taufik Batisha dengan caranya sendiri.

Tidak ketinggalan, single terbaharunya, Dikalung Kasihan yang mana buat pertama kali Imran menggunakan khidmat ciptaan dan lirik oleh pemuzik tempatan Azlan Abu Hasan dan B. Azhar.

Katanya, jika sebelum ini album yang dihasilkan hanya menggunakan produknya sendiri, untuk album ketiga ini dia mahu kaedah berbeza dengan meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagu ciptaan Azlan.

Walaupun mempersembahkan 17 buah lagu, showcase Imran tidak membosankan kerana dia bijak dan sering berbicara dengan penonton untuk bercerita kisah-kisah peribadinya.

Membuka persembahan dengan lagu Sudah tu Sudah sebelum diikuti lagu Terukir Di Bintang dan Malu, Imran bercerita mengenai temu janji pertamanya dengan seorang gadis setelah berkenalan melalui laman sosial Friendster beberapa tahun lalu.

Sebelum menyanyikan lagi Hanya Menari pula, Imran membuka bicara lagi dengan berkongsi pengalamannya yang sudah setahun berhenti merokok.

Lebih manis lagi pada petang itu, Imran turut membuat kejutan kepada seorang kakitangan penerbangan tambang murah Firefly, Rosni Shamsudin, 42, dengan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi.

Sambil melutut Imran menyerahkan sepinggan kek yang terdapat lilin kepada wanita itu dan menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

Firefly selaku penaja persembahan Imran petang itu turut membuat cabutan bertuah dengan memberikan 23 tiket penerbangan ke beberapa destinasi dalam dan luar negara kepada hadirin yang datang menyaksikan showcase tersebut.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm#ixzz2IlpyW4Rs

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA

Hakcipta terpelihara

Be the first to comment on “Kosmo: Kesederhanaan Imran Ajmain”

Leave a Reply