Dina Lupakan Alicia Keys
Teks: Miss Ayu

Sudah agak lama kita tidak mendengar tentang perkembangan terbaru Dina Nadzir. Penyanyi yang digilap daripada program realiti Malaysian Idol ini bagaikan mengundur diri dari dunia nyanyian dan memberi tumpuan kepada tugasnya di konti radio. Adakah benar Dina sudah tidak mahu menyanyi atau dia punya perancangan istimewa untuk kerjaya nyanyiannya?

“Saya masih lagi menyanyi dan tidak pernah berniat untuk berhenti. Namun, saya tidak seaktif dahulu kerana saya kini dalam proses mencari genre muzik yang betul-betul sesuai dengan diri saya. Maklumlah, setelah lapan tahun berada dalam industri , saya rasa sudah sampai masanya saya muncul dengan imej muzik yang baru. Saya mahu buat kemunculan semula dan harapkan kemunculan itu  mendapat maklum balas yang baik.

Sebagai permulaan, sekarang ini saya sedang mencari lagu-lagu yang sesuai untuk dimuatkan dalam album terbaru. Untuk pastikan persembahan muzik kali ini berbeza dengan yang sebelum ini, saya cuba bekerjasama dengan beberapa komposer yang baru saya kenali. Mereka ini tidak pernah berkerjasama dengan artis-artis mainstream, sebaliknya banyak pengalaman membuat lagu untuk komersial. Secara dasarnya, album terbaru ini boleh dikatakan berentak R&B, tetapi ada lenggok Melayu,” ulas Dina membuka cerita.

Kenyataan Dina ini mengundang persoalan lain iaitu, adakah dia sudah tidak mahu dikenali sebagai penyanyi urban? Kalau dahulu penyanyi berasal dari Johor Bahru ini diketahui mahu berada di dalam kelompok penyanyi urban seperti Atilia, Najwa Mahiaddin, Adibah Noor dan Syafinaz Selamat.

“Dahulu memang saya kejar gelaran penyanyi urban itu. Kalau boleh hendak bawa muzik macam Alicia Keys. Tapi saya sedar untuk bawakan muzik seperti Alicia Keys itu, perbelanjaannya sangat besar kerana ia sebuah muzik yang diprogramkan. Dengan situasi pasaran sekarang ini, saya tidak mungkin mampu. Oleh itu, lebih baik saya bersikap realistik.

Lagipun saya dapati lagu-lagu Melayu sebenarnya sangat sedap didengari. Mungkin sebab itu sehingga kini lagu-lagu itu masih diminati ramai. Jadi, mulai sekarang ini saya mahu dikenali sebagai penyanyi Melayu. Seiring dengan usia  yang semakin meningkat, saya rasa lagu Melayu mempunyai melodi dan lirik yang cukup indah,” ujar Dina yang mengakui tugasnya sebagai penyampai radio telah mengubah pendapatnya terhadap lagu Melayu.

Dalam masa yang sama, Dina juga menyatakan hasratnya untuk mendapatkan lagu-lagu daripada Imran Ajmain. Menurut Dina, dia sangat suka dengan sentuhan Imran yang bijak menggabungkan elemen urban dengan lenggok Melayu.

Sumber: Gua.com.my

Previous: Next:

Be the first to comment on “Gua: Dina Nadzir – Imran bijak menggabungkan elemen urban dengan lenggok Melayu”

Leave a Reply